Pegawai MAQIS menyampaikan sumbangan ayam sejuk beku kepada wakil penjara Penor di Pejabat MAQIS Kelantan, di sini, semalam. FOTO IHSAN MAQIS
Pegawai MAQIS menyampaikan sumbangan ayam sejuk beku kepada wakil penjara Penor di Pejabat MAQIS Kelantan, di sini, semalam. FOTO IHSAN MAQIS
Oleh Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kelantan menyumbang 600 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM5,700 kepada Penjara Penor, Pahang semalam.

Pengarah Maqis Negeri Kelantan Roslan Che At berkata, ia bertujuan memenuhi keperluan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan Jabatan Penjara Malaysia.

Katanya, kesemua serahan itu daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang sudah melalui proses undang-undang dan yang sudah dilucuthakkan.

"Pengeluaran ayam sejuk beku ini tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Selain itu, pada 11 Ogos lalu, Maqis turut menyumbang 840kg keratan ayam sejuk beku kepada Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak bernilai RM7,000.

"Ia untuk memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan haiwan" katanya pada kenyataan hari ini.

Roslan berkata, pihaknya akan terus menyumbang barangan rampasan kepada agensi yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:25 PM