KERATAN ayam sejuk beku dari Singapura yang dirampas Maqis. FOTO Ihsan Maqis
KERATAN ayam sejuk beku dari Singapura yang dirampas Maqis. FOTO Ihsan Maqis
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 210 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku, selepas menahan sebuah kereta dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini, Rabu lalu.

Pengarah Maqis Edie Putra Md Yusof berkata, pihaknya menahan sebuah kereta bernombor pendaftaran tempatan itu pada 9 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa Maqis menemukan 14 kotak keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar.

"Sebanyak 210 kg keratan ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM3,580 dirampas untuk tindakan lanjut.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pemandu warga tempatan berusia 30-an dilepaskan selepas keterangan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 5:54 PM