MAQIS merampas lebih 27 tan keratan ayam sejuk beku yang  diragui status halal. FOTO Ihsan Maqis
MAQIS merampas lebih 27 tan keratan ayam sejuk beku yang diragui status halal. FOTO Ihsan Maqis
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih 27 tan keratan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM275,640 dari negara jiran Selasa lalu.

Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar berkata, rampasan itu adalah hasil pemeriksaan terhadap lori kontena di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira 12 tengah hari selepas mendapati terdapat perkara meragukan.

"Sebanyak 1,257 kotak seberat 15,084kg (15 tan) keratan ayamsejuk beku didapati ia diisytiharkan tidak tepat dan mengelirukan.

"Selain itu, sebanyak 1,040 kotak seberat 12,489kg (12.5 tan) keratan ayam sejuk beku tidak memiliki sijilhalal dan sijil kesihatan turut dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu di siasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 4:42 PM