Ayam sejuk beku dirampas ketika cuba diseludup di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah. FOTO ihsan MAQIS
Ayam sejuk beku dirampas ketika cuba diseludup di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah. FOTO ihsan MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 31 tan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai lebih RM187,000 dari Thailand kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, lori kontena membawa ayam yang sudah dipotong dan diisi ke dalam 2,600 kotak ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, pemeriksaan mendapati ayam sejuk beku itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import selain dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.

"Kegagalan mengemukakan maklumat berkenaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, MAQIS komited dalam memastikan produk pertanian dan makanan yang diimport terpelihara terutama membabitkan aspek halal.

"MAQIS tidak akan memandang mudah terhadap perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan MAQIS merampas lebih 61 tan ayam sejuk beku dianggar bernilai RM495,608 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini melalui ICQS Bukit Kayu Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 3:03 PM