Empangan Pedu
Empangan Pedu
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih di tahap memuaskan bagi menampung keperluan pengairan dan kegunaan domestik sepanjang El Nino melanda.

Sehingga hari ini, takungan Empangan Pedu berada pada tahap 71.44 peratus manakala Empangan Ahning (89.99 peratus) dan Empangan Muda (40 peratus) dengan jumlah keseluruhan takungan empangan 71.61 peratus

MADA dalam satu kenyataan berkata biarpun jumlah takungan air di Empangan Muda berkurangan, namun penduduk tidak perlu bimbang berikutan air di empangan itu digunakan untuk menyokong takungan air di Empangan Pedu bagi tujuan pengairan.

"Empangan Muda tidak salurkan air ke mana-mana terusan kerana Empangan Muda dan Empangan Pedu ini berkongsi air yang sama, maksudnya ada terowong antara kedua empangan ini.

"Empangan Muda nampak tadahan kecil tapi sebenarnya takungan airnya lebih besar berbanding Empangan Pedu.

"Empangan Pedu pula nampak tadahan besar, tapi takungan airnya lebih kecil berbanding Empangan Muda

"Orang ramai tidak perlu panik kerana Empangan Pedu masih mencatatkan takungan yang memuaskan untuk pengairan dan memulakan musim tanaman padi pada April depan," katanya.

Menurut kenyataan itu tiada isu pengurangan air di Empangan Muda disebabkan faktor penggunaan air untuk domestik kerana Empangan Ahning yang digunakan untuk sumber air domestik.

"Sehingga kini kedudukan takungan air semua empangan sangat baik," katanya.

Semalam media melaporkan empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal, setakat semalam, susulan cuaca panas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus); dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

NADMA yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, stok simpanan air di Empangan Muda, Kedah, pula berada pada paras amaran dengan 41 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 12:20 PM