Inspektor Sheila
Inspektor Sheila
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 10 dan 11 Jun untuk perbicaraan kes menyebabkan kegusaran awam di pusat beli-belah yang membabitkan Inspektor Sheila, tahun lalu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan turut menetapkan 16 Mei untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan representasi dikemukakan inspektor tular itu atau nama penuhnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menyemak representasi dikemukakan, justeru memohon tarikh perbicaraan sementara menunggu keputusan AGC.

Sementara itu, peguam M Manoharan yang mewakili Sheila ketika ditemui selepas prosiding hari ini berkata, sekiranya keputusan representasi memihak kepada anak guamnya, perbicaraan tidak akan dijalankan.

"Anak guam juga mempunyai satu lagi kes yang akan disebut di Mahkamah Majistret Selayang esok," katanya.

Pada 8 November 2023, Sheila selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta yang panjang serta menjerit terhadap Nuraihan Nadzirah Ibrahim, 27.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields, di sini pada 5.26 petang, 16 Jun tahun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 1:13 PM