Suraya Roslan


Petaling Jaya: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali untuk menggugurkan dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit bekas teman wanitanya di hotel, tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Md Kamal pada sebutan keputusan representasi itu di Mahkamah Majistret, hari ini di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

"Pendakwaan mendapat arahan untuk meneruskan pertuduhan dengan perbicaraan dan pernyataan-pernyataan (saksi) akan dikemukakan jadi saya mohon tarikh perbicaraan," kata Siti Maryam.

Representasi itu dihantar kepada AGC 6 Februari lalu.

Mendengar perkara itu, peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashraf yang mewakili Mohd Rizal kemudian memohon satu tarikh lain ditetapkan bagi perbicaraan.

Zhafran kemudian menetapkan 1 Julai ini bagi perbicaraan kes.

Sebelum ini media melaporkan, bekas pemain pertahanan Sabah FC itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, 19 Jun tahun lalu atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Zhafran.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rizal, 32, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dengan memukul wanita itu di sebuah bilik hotel di sini, jam 6 pagi, 7 Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didapati melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit wanita sama dengan kerugian RM4,500 pada masa dan hari yang sama.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 dan Seksyen 427 kanun sama memperuntukkan hukuman tiga bulan penjara atau denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 11:25 AM