Pembantu kedai menyusun beras import ketika tinjauan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang kehabisan stok dan tidak kelihatan, manakala stok beras import pelbagai jenama masih banyak terdapat di kedai runcit di sekitar Bangi Lama. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pembantu kedai menyusun beras import ketika tinjauan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang kehabisan stok dan tidak kelihatan, manakala stok beras import pelbagai jenama masih banyak terdapat di kedai runcit di sekitar Bangi Lama. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Sudah lama tiada beras super spesial tempatan (SST). Itu situasi di beberapa kedai runcit di sekitar Bangi Lama dan Bandar Seri Putra, di sini, berdasarkan tinjauan dijalankan hari ini.

Pekerja kedai runcit dikenali sebagai Ilham berkata, pelanggan juga sudah lali dengan masalah ketiadaan beras tempatan.

"Beras SST memang sudah lama tidak ada. Tak ingat bila kali terakhir ada dijual di sini, walaupun dipesan tetap juga tidak ada penghantaran.

"Pelanggan yang memerlukan memang bising sampai mereka pun lali dan tahu jawapan yang bakal diberikan. Jadi mereka terpaksa juga beli beras import sebab tiada pilihan lain," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi pekerja kedai runcit lain, Mohd Sabri berkata, ketiadaan beras SST di tempatnya bekerja bermula sejak kenaikan harga beras berlaku tahun lalu.

"Ketika beras naik harga tahun lalu, sejak itu bekalan beras tempatan memang tidak ada dan tak dijual di sini. Hanya beras import saja yang masuk.

"Ramai yang mencari beras tempatan, tapi nak buat macam mana. Mahu atau tidak, terpaksa beli beras import, kasihan juga kepada mereka terutamanya yang kurang berkemampuan.

"Beras import memang sentiasa ada dan tak pernah putus bekalan tapi harga mahal," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga terpaksa akur dan mengalah dengan keadaan pasaran beras di pasaran.

"Kita memang buat tempahan tapi tak dapat. Bagi saya, permintaan beras SST sangat tinggi, bagi yang kurang berkemampuan, nak beli beras import sedikit membebankan.

"Macam pelanggan tetap yang kebetulan beri barang lain, mereka akan beli saja beras import sebab tak ada pilihan. Kalau yang datang setakat nak beli beras, memang tidak akan beli beras import," katanya.

Bagaimanapun, berbeza situasi di sebuah kedai runcit lain apabila premisnya masih menjual dan mendapat bekalan beras tempatan.

Pemiliknya dikenali sebagai Samad berkata, bekalan yang diterima oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) adalah terhad antara 40 hingga 50 pek saja.

"Kedai saya masih menjual beras tempatan tapi hanya dijual kepada orang tempatan iaitu warga Malaysia. Cuma nak dapat bekalan selalu pun agak susah juga.

"Kadang, kita pesan dalam tempoh lima bulan baru dapat. Itu pun dalam kuantiti terhad antara 40 hingga 50 pek saja. Tidak seperti dulu yang mana bekalan sentiasa ada," katanya.

Menurutnya, tidak semua pelanggan kedainya membeli beras tempatan.

"Di sini pelanggan memang tahu saya menjual beras SST. Mereka kerap bertanya mengenai beras ini sebab ia memang murah. Dalam masa sama, tak semua pelanggan nak beras SST, ada yang memang beli beras import," katanya.

Menurutnya, beras tempatan hanya dijual pada kuantiti 10 kilogram (kg) iaitu RM26.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 1:38 PM