PENGUNJUNG memilih beras yang dijual di sebuah pasar raya ketika tinjauan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD
PENGUNJUNG memilih beras yang dijual di sebuah pasar raya ketika tinjauan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tiada isu kenaikan harga sebaliknya kebanyakan peniaga kedai runcit dan pasar raya mini di ibu negara mengalami kekurangan serta kehabisan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST).

Tinjauan di beberapa premis perniagaan itu mendapati, beras SST untuk 10 kilogram (kg) dan 5 kg sukar diperoleh atau kuantitinya dilihat berkurangan.

Namun, pemerhatian Harian Metro mendapati, tidak sukar mencari beras putih, Super Spesial Import (SSI) dan import berkualiti tinggi seperti beras wangi, perang dan basmati kerana ia masih banyak di rak dengan harga bermula RM26 dan ke atas untuk 10 kg serta RM15 ke atas (5 kg).

Pemilik sebuah pasar raya mini di Gombak dikenali sebagai Lim mengakui, pihaknya tidak lagi menerima stok bekalan beras SST sejak dua bulan lalu.

"Sudah lama kami tidak dapat bekalan beras SST. Pembekal beritahu SST hanya dijual kepada pasar raya besar saja. Walaupun permintaan SST tinggi, kami tidak boleh buat apa-apa kini jual beras putih import dan import saja kerana hanya itu kami dapat daripada pembekal," katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Situasi sama dikongsikan pengurus sebuah kedai runcit di Sentul, Zahi Mohamed yang berkata, harga SST tidak mungkin naik kerana dikawal kerajaan, namun isu sebenarnya yang berlaku sekarang ialah bekalan kurang dan sukar diperolehi.

"Peniaga memang tidak boleh jual harga beras SST lebih daripada paras harga kawalan iaitu RM13 untuk 5 kg dan RM26 (10 kg).

"Namun isunya beras SST kehabisan stok walaupun sudah buat tempahan, tetapi hampir dua bulan kami masih tidak terima bekalan.

"Saya tidak tahu apa punca ini berlaku tetapi pembekal cakap, stok habis. Sejak itu kami hanya jual beras SSI dan import saja," katanya.

Penyelia sebuah pasar raya di Setiawangsa, Andrison Paul pula berkata, setakat ini hanya harga beras SSI dan import mengalami kenaikan harga mengikut jenama.

"Memang ada kenaikan harga beras sejak beberapa minggu lalu tetapi SSI dan import saja dan bukan semua jenama hanya beberapa saja.

"Macam beras SST setakat ini tiada kenaikan langsung dan bekalan diperolehi macam biasa dalam dua minggu sekali," katanya.

Sementara itu, pengguna dari Keramat Permai, Sumiyati Sham, 54, berkata, kekurangan beras SST di pasaran menyebabkan dia memilih beras SSI.

"Namun, saya perasan harga beras SSI di kedai runcit biasa saya beli, naik kepada RM34 untuk 10 kg sejak sebelum Aidiladha lagi.

"Sebelum ini, saya biasa beli di kedai itu dengan harga RM30 ke RM31. Kenaikan itu walaupun cuma RM3 ke RM4, saya tetap rasa mahal. Saya harap kerajaan dapat juga mengawal harga SSI kerana ia pilihan kedua rakyat selepas beras SST," katanya.

Untuk rekod, beras SST ialah beras tempatan yang memiliki gred beras hancur sebanyak 5 peratus dan dikawal kerajaan iaitu RM13 (5 kg) dan RM26 (RM10 kg) manakala SSI dan beras import harganya lebih mahal dan tidak dikawal kerajaan.

Bekalan terjejas dek cuaca panas

Cuaca panas menyebabkan pengeluaran padi negara terjejas dan berlaku isu kekurangan bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) di pasaran.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, masalah itu menyebabkan pengguna terpaksa membeli beras lebih mahal, Super Spesial Import (SSI) dan import berkualiti tinggi.

"Kita sedia maklum, cuaca panas menyebabkan pengeluaran padi terjejas. Trend pengurangan ini mendadak sejak bulan lalu.

"Macam kami sendiri berlaku 70 pengurangan bekalan beras SST contohnya jika tempah 1,000 paket beras yang datang cuma 300 paket saja.

"Selain bekalan SST tak cukup, kita tanggung kenaikan kos contohnya 5 kilogram (kg) sebelum ini harga kos RM12.50 dan jual ikut harga kawalan RM13 tetapi sekarang kos naik kepada RM12.80 ke RM12,90," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 7:00 AM