GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: "Kos sara hidup semakin meningkat sekarang, sepatutnya kerajaan membantu kami dari segi pengurangan harga bagi barangan ruji utama seperti beras."

Penjawat awam, Alif Razak, 32, menyuarakan kebimbangannya mengenai cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini yang diutarakan oleh Badan Kawal Selia Padi dan Beras, Sabtu lalu.

"Beras tempatan di pasar raya juga susah untuk ditemui dan sekarang mungkin akan ada kenaikan harga beras.

"Kenaikan harga patut dilakukan secara berperingkat atau dalam jumlah yang lebih rendah untuk mengurangkan kesan terhadap pengguna dan ekonomi secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Muhd Taufiq Sudirman,23, berkata, kenaikan beras tempatan memberi impak yang ketara terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

"Apabila harga beras meningkat semestinya peniaga makanan juga akan menaikkan harga nasi.

"Hal ini menjadi beban kepada golongan berpendapatan rendah.

"Pihak berwajib sepatutnya mengkaji semula harga beras tempatan dan tidak menaikkan harga yang boleh membebankan rakyat," katanya.

Sementara itu, peruncit, Mustafa Abu, 60, berkata, harga beras putih tempatan wajar dinaikkan.

"Secara peribadi saya rasa wajar harga beras tempatan dinaikkan selaras dengan harga barangan lain yang juga naik.

"Beras tempatan tidak akan dijual sekiranya tiada keuntungan kepada kami dan kesannya kepada industri padi tempatan.

"Stok beras tempatan juga susah didapati dan saya hanya dapat menjual beras import, tapi mungkin juga pembeli tiada pilihan lain kerana saya satu-satunya peniaga runcit di kawasan ini jadi mereka terpaksa beli," katanya.

Mustafa berkata, kenaikan harga barang akan menjejaskan semua golongan termasuk pemborong, peniaga dan pembeli.

"Jika nak bahas mengenai kesan, semua akan terkesan termasuk golongan peruncit seperti kami yang ada kalanya tidak mendapat stok beras tempatan kerana pemborong menjualnya kepada peniaga restoran atau kedai makan yang rela membeli beras dengan harga mahal.

"Pelanggan juga terpaksa beli beras import jadi di sini semua terkesan. Peruncit akan rugi, pelanggan tak mendapat beras dan peniaga makanan membeli dengan harga mahal kerana pemborong tiada pilihan, mereka juga mahu untung," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bagi pemilik kedai runcit Annisa, Khairun Nisa Abdul Rahim, 37, beras tempatan sekarang tidak dapat dibeli oleh pemborong dan mereka hanya dapat membeli beras import sahaja.

"Beras import sebanyak lima kilogram kini berada pada harga RM19.45 dan ini menyukarkan kami sebagai peniaga kecil kerana tiada stok beras tempatan di sini.

"Kenaikan harga adalah wajar jika ia dilakukan dalam jumlah yang lebih rendah tapi dengan cara tidak terlalu ketara dan tidak memberi impak negatif kepada penjualan kami," katanya.

Bagi Khairun Nisa, jika kenaikan harga beras berlaku, persaingan dengan pasar raya besar akan berlaku kerana mereka mampu menawarkan harga yang lebih rendah.

"Harga yang tinggi di kedai runcit juga akan menyebabkan risiko stok tidak terjual dan merugikan operasi perniagaan kami.

"Kami harap harga yang diberikan kerajaan adalah seimbang dan harga jualan juga diselaraskan kepada semua pasar raya.

"Kami setuju dengan kemungkinan kenaikan harga, tapi keperluan untuk mengawal dan menyeimbangkan harga jualan agar tidak memberi kesan yang besar kepada industri pemborong perlu diutamakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:56 PM