GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Penyiasatan komprehensif perlu dilaksanakan terhadap kenaikan kos bahan mentah dan kos pengangkutan bagi mengesan aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti perbuatan sorok, manipulasi harga dan kewujudan kartel.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara yang biasa dikaitkan dengan kenaikan harga makanan disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan kos pengangkutan serta permintaan tinggi mendorong peningkatan harga barang.

Sebagai peniaga katanya, sudah pasti motif mencari keuntungan menjadi penyebab utama golongan itu memulakan sesuatu perniagaan.

"Secara umumnya, pengiraan untung adalah harga jualan ditolak kos dan kos pula terdiri daripada kos tetap seperti gaji dan sewa kedai dan kos berubah seperti kos bahan mentah dan kos pengangkutan.

"Keuntungan adalah motif utama peniaga untuk berniaga dan perkara ini perlu wujud untuk mereka meneruskan perniagaan.

"Jadi, isu kenaikan harga makanan bazar tidak semudah dengan penetapan atau kawalan harga jualan kerana harga kos bahan mentah dan pengangkutan yang terus meningkat akan menjejaskan keuntungan atau margin peniaga yang begitu signifikan bagi kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, berhubung harga makanan di bazar Ramadan seluruh negara secara purata mengalami peningkatan antara 10 hingga 20 peratus.

Dapatan itu hasil tinjauan Harian Metro di beberapa bazar seluruh negara pada hari pertama Ramadan, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, isu kenaikan harga makanan ini seharusnya diperhalusi sebaiknya bagi mencapai penyelesaian menang-menang untuk semua pihak terbabit.

"Perlu ada penyiasatan terhadap setiap rantaian perniagaan dari pengeluar, pemborong dan penjual supaya penentuan harga berlaku dalam keadaan yang telus dan adil.

"Kuasa pengguna juga perlu diperkasakan melalui aduan pengguna kepada pihak berkuasa dan tindakan pantas yang perlu diambil," katanya.

Berita berkaitan

Janganlah naik harga melampau

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 8:58 AM