Rosli Sulaiman
Rosli Sulaiman
Mahaizura Abd Malik


Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mengesahkan kenaikan kira-kira 20 hingga 30 peratus harga makanan dan kuih berlaku sejak penghujung tahun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peniaga dan penjaja bazar Ramadan yang kebanyakannya juga berniaga di pasar malam harian terpaksa menaikkan harga jualan mereka selepas berlaku kenaikan harga barang dan bahan mentah di peringkat pembekal.

"Kita anggarkan kenaikan harga makanan dan kuih dalam 20 hingga 30 peratus kerana peniaga terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah sejak tahun lalu.

"Kenaikan ini sudah berlaku sebelum Ramadan ini lagi iaitu pada penghujung tahun lalu kerana peniaga dan penjaja bazar Ramadan juga sebenarnya orang sama berniaga di pasar malam harian.

"Walaupun harga meningkat, maklum balas kita terima menunjukkan, kuasa membeli di bazar Ramadan kali ini nampak agresif dan tetap mendapat sambutan baik pengguna," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada pasar malam turut mengalami kenaikan harga makanan dan kuih susulan laporan tinjauan Harian Metro di bazar Ramadan semalam yang menyaksikan peningkatan harga antara 10 hingga 20 peratus.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, tidak adil jika peniaga dan penjaja perlu menyerap kos kenaikan daripada pembekal berikutan lambat laun boleh menjejaskan perniagaan mereka.

"Bukan saja harga semakin naik, peniaga dan penjaja juga berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah di pasaran.

"Kalau peniaga tak naikkan harga jualan mereka, memang agak mustahil dapat bertahan dalam perniagaan diusahakan kerana bahan mentah semakin mahal.

"Jadi, saya berharap kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mengawal harga di semua peringkat rantaian termasuk pembekal bukan hanya memfokuskan kepada peniaga dan penjaja kecil saja," katanya.

Mengambil contoh perbandingan harga, popia di bazar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dijual RM8 satu set berbanding RM7 tahun lalu dan roti john pula RM9 berbanding RM8 sebelum ini manakala murtabak pula dijual pada harga RM7 berbanding RM5 pada 2023.

Selain itu, di bazar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, pula menyaksikan kuih jala mas sebelum ini enam ketul berharga RM5 kini dijual kepada RM1 seketul manakala kuih piana, tahi itik dan seri kaya tiga ketul RM2, kini dijual kepada RM1 seketul.

Berita berkaitan

Laksana siasatan komprehensif

Janganlah naik harga melampau

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 9:11 AM