MANSOR meneliti pelan lokasi Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
MANSOR meneliti pelan lokasi Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selesai menaik taraf struktur weir (halangan) dan membuang enapan sungai dalam kawasan Tasek Gelugor, dekat sini, bagi mengatasi isu pencemaran Sungai Kereh yang didakwa dicemari najis babi.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman, berkata kerja menaik taraf struktur weir dan membuang enapan sungai itu dilaksanakan di tiga lokasi membabitkan Parit Besar, Parit Kubang Menerong dan Parit Kampung Baharu.

Katanya, kerja itu adalah bagi mengurangkan beban pencemaran alam sekitar di kawasan terbabit disamping mengelak risiko banjir.

"Proses pembuangan enapan itu dilakukan setiap dua hingga tiga tahun sekali dan kali terakhir dilaksanakan pada awal tahun ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), Siti Zaleha Ibrahim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr Rozali Mohamud.

Dalam pada itu, Mansor berkata, JAS komited menjalankan penguatkuasaan secara berkala terhadap 33 kilang di sekitar kawasan itu, termasuk tiga kilang berefluen bagi memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pada masa sama JAS juga mengukur kualiti air sungai pada setiap bulan di tiga stesen di sepanjang Sungai Kereh.

"Berdasarkan kepada pemantauan terkini pada 6 dan 7 September lalu menunjukkan kualiti air Sungai Kereh berada di kelas tiga," katanya.

Terdahulu, beberapa media melaporkan mengenai penderitaan penduduk yang berada sekitar kawasan sungai berkenaan yang dibelenggu isu pencemaran akibat pelepasan najis babi selama empat dekad.

Baru-baru ini, analisa dilakukan ke atas kualiti air Sungai Kereh mendedahkan punca pencemaran sungai berkenaan adalah daripada najis babi yang dilepaskan dari Kampung Selamat.

Perkara berkenaan didedahkan Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh (BBBPSK) selepas mendapatkan perkhidmatan makmal bebas bagi menjalankan analisa kualiti air di sungai itu sejak Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:24 PM