Zikrullah Ismail di Sungai Kereh dekar Kampung Selamat yang tercemar dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan babi sejak lebih 40 tahun lalu. FOTO / FOTO IHSAN CAP
Zikrullah Ismail di Sungai Kereh dekar Kampung Selamat yang tercemar dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan babi sejak lebih 40 tahun lalu. FOTO / FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Tasek Gelugor: Analisa makmal terhadap kualiti air di Sungai Kereh, di sini, mendapati punca utama pencemaran disebabkan aktiviti penternakan haiwan di lokasi berkenaan.

Keputusan itu diperoleh daripada makmal bebas hasil usaha Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh pada Disember lalu.

Analisa kualiti air itu diambil berikutan keadaan sungai berkenaan yang terjejas sejak lebih 40 tahun lalu dipercayai akibat aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat, di sini.

Pengerusi Lekas Zikrullah Ismail berkata, berdasarkan laporan awal analisa makmal itu, bukti saintifik menyimpulkan punca utama pencemaran Sungai Kereh disebabkan aktiviti penternakan haiwan.

Katanya, kewujudan bukti itu akan memperkukuhkan lagi kenyataan yang dibuat Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh, sebelum ini.

"Lekas bertekad dengan komitmen bagi memberi advokasi kepada penduduk tempatan sehingga isu ini dapat diselesaikan segera serta akan mempergiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat awam.

"Inisiatif itu dilakukan supaya isu ini dapat difahami berdasarkan fakta yang jelas dan bukan sekadar sentimen kosong semata-mata seperti yang didakwa sebahagian pihak tidak bertanggungjawab," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi pemantauan kualiti air sungai yang berterusan, pematuhan penternak bagi pelaksanaan sistem pelepasan sisa-sifar (zero-waste discharge system) dan penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016.

Laporan khas Harian Metro sebelum ini mendedahkan pencemaran Sungai Kereh dipercayai berpunca daripada pelepasan najis babi dari ladang ternakan di Kampung Selamat.

Lebih teruk, kawasan itu juga sering terbabit dengan banjir menyebabkan kesan besar kepada beberapa kampung seperti Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.

Difahamkan, terdapat 77 kandang membabitkan sebanyak 135,000 ekor babi di kawasan itu yang dikatakan sudah beroperasi sejak 1980-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 3:39 PM