BUAYA yang tersangkut pada pukat diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu.
BUAYA yang tersangkut pada pukat diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Buaya jantan sepanjang lebih lima meter yang ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di Kampung Sungai Nipah,Tambisan, di sini diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL).

Pembantu Hidupan Liar JHL Lahad Datu, Sylvester Wong berkata, pihaknya menerima buaya berkenaan semalam daripada Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.

Katanya, berdasarkan maklumat, buaya itu tersangkut di salah satu pukat penduduk di kampung berkenaan pada Rabu lalu.

"Anggota APM bersama penduduk kampung bertindak menangkap dan mengikat buaya terbabit sebelum dibawa ke Pusat Operasi APM Lahad Datu dan menghubungi JHL," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kakitangan tiba, buaya berkenaan didapati berkeadaan lemah dan dibawa pulang ke JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular video yang memaparkan pihak APM dan penduduk terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengangkat buaya jantan dewasa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 7:23 PM