MOHAMED Usuf (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah bernilai RM62,000 yang dirampas. FOTO Zuhainy Zulkifli
MOHAMED Usuf (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah bernilai RM62,000 yang dirampas. FOTO Zuhainy Zulkifli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran ganja bernilai RM62,000 susulan penahanan dua lelaki warga tempatan di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 23 dan 34 tahun yang juga penganggur itu ditahan menerusi operasi terancang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, jam 8.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan dilakukan di kawasan daerah Barat Daya dan dua lelaki berkenaan ditahan dalam kereta di parkir di sebuah lorong.

"Pemeriksaan menemukan sebanyak 20 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas warna keemasan di dalam kenderaan itu.

"Setiap ketulan berisi daun disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 19.9 kilogram bernilai RM62,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, risikan mendapati sindiket pengedaran dadah itu bergiat aktif akhir tahun lalu untuk pasaran tempatan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Februari ini bagi membantu siasatan.

"Dadah berkenaan dipercayai dari negara jiran, namun siasatan masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 6:03 PM