Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan rampasan dadah ganja dan heroin bernilai RM83,175.90 serta tangkapan lima lelaki berusia di antara 22 hingga 46 tahun di sekitar Gelugor dan Georgetown  pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan rampasan dadah ganja dan heroin bernilai RM83,175.90 serta tangkapan lima lelaki berusia di antara 22 hingga 46 tahun di sekitar Gelugor dan Georgetown pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penuntut universiti awam antara lima ahli sindiket pengedaran dadah yang tahan polis dalam beberapa serbuan di negeri ini.

Semua lelaki berusia 22 hingga 46 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan selama dua hari bermula Jumaat lalu di sekitar Georgetown dan Gelugor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki di tepi jalan di Gelugor pada jam 6.30 petang yang membawa kepada penemuan 24.6 Kilogram ganja.

Katanya, ketika serbuan semua suspek sedang memunggah ketulan mampat ganja itu daripada sebuah lori.

"Berpandukan maklumat seorang suspek berusia 46 tahun, polis menyerbu sebuah pangsapuri di kawasan sama yang disewa suspek dan menemukan 1.9 kilogram heroin dan 16.8 gram ganja.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi pangsapuri di Gelugor dan merampas wang tunai RM7,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Mengulas lanjut Mustafa Kamal berkata, polis kemudian menahan dua lagi suspek termasuk ketua sindiket berkenaan di dua pangsapuri berbeza di sekitar Georgetown.

Katanya, turut dirampas ialah ganja seberat 22 gram dalam milikan salah seorang suspek.

"Siasatan mendapati sindiket terbabit aktif melakukan kegiatan mengedar dadah sejak lima bulan lalu manakala suspek utama berusia 31 tahun itu mendapat bekalan dari sebuah negeri di utara tanah air.

"Secara keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM83,175 manakala nilai sitaan pula sebanyak RM55,000 iaitu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150, kereta Perodua Myvi serta wang tunai," katanya.

Menurut Mustafa Kamal, semakan mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori, penghantar dokumen, penuntut universiti serta dua lagi penganggur dan kesemuanya positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:21 PM