Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan bernilai hampir RM1 juta dalam lima serbuan berasingan di dua daerah negeri ini kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di tiga lokasi sekitar Georgetown di sini dan merampas 90,000 pil kuda, 27,000 pil psikotropik serta syabu seberat 1.9 kilogram bernilai RM978,500.

Katanya, susulan itu polis menahan dua lelaki dan perempuan warga asing berusia 34 hingga 47 tahun di kediaman mereka.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah barang kemas, wang tunai serta tiga kenderaan bernilai RM82,550.

"Ujian saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif dan tiada rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati pasangan kekasih dan rakannya itu dipercayai menjual pil psikotropik berkenaan pada harga RM1 dan mensasarkan pekerja di tapak pembinaan yang didakwa boleh mengatasi masalah sukar tidur dan kemurungan.

"Suspek mendakwa bekerja sebagai kontraktor dan sindiket itu didapati aktif dalam pengedaran dadah sejak awal Mac tahun lalu bagi pasaran tempatan," katanya lagi.

Dalam serbuan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, polis juga berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang didalangi dua buruh binaan dan seorang petani di daerah Seberang Perai Tengah.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam pengedaran dadah sejak Jun tahun lalu dan kesemua mereka didapati positif dadah jenis ganja.

Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 53 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan yang membawa kepada penemuan tiga ketulan mampat ganja bernilai RM2,375.

"Menarik dalam serbuan ini, apabila pihak polis menemukan wang tunai sebanyak RM181,00 pada serbuan kedua iaitu membabitkan sebuah unit kediaman.

"Keseluruhan rampasan dadah dan nilai sitaan harta dalam kedua-dua kes berkenaan ialah lebih RM1.2 juta.

"Kesemua suspek direman bermula semalam hingga 23 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Antara rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG
Antara rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:29 PM