GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Polis membongkar taktik seorang penganggur yang menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya sebagai stor menyimpan hampir 100 kilogram (kg) ganja bernilai RM309,000 pada serbuan di kawasan parkir sebuah apartmen di Gat Lebuh Maccalum, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut melancarkan Ops Tapis di kawasan itu sebelum menahan lelaki berusia 46 tahun terbabit, jam 1 tengah hari.

"Lelaki itu ditahan di kawasan parkir motosikal dan pemeriksaan awal menemukan dua ketulan mampat ganja seberat hampir dua kilogram bernilai RM6,000. Suspek dipercayai mahu menghantar dadah berkenaan kepada pelanggan.

"Hasil soal siasat, polis memeriksa sebuah Honda CRV yang terletak 500 meter dari lokasi suspek ditahan dan menemukan empat kotak plastik di tempat duduk penumpang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat kotak itu menemukan 98 ketulan mampat ganja seberat 98kg bernilai RM303,000 dan siasatan awal mendapati, suspek menjadikan kenderaan itu sebagai stor menyimpan dadah.

Hamzah berkata, hasil risikan mendapati, suspek yang juga penganggur mengedar dadah sejak awal bulan ini dan dipercayai bergerak solo sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Suspek mendapatkan bekalan ganja daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah sebelum menyimpannya dalam Honda CRV terbabit.

"Kereta itu tidak bergerak dan dibiarkan di kawasan parkir, dia akan membawa pelanggan ke kenderaan berkenaan dan jika (pelanggan) setuju untuk membeli dadah terbabit, suspek akan menjualnya di situ juga," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek memasarkan bekalan ganja di sekitar negeri ini, terutama di sekitar Timur Laut, dan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 200,000 penagih.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga 21 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:24 PM