Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan merampas 872 ketulan dipercayai ganja seberat 865.7 kilogram (kg) bernilai RM2.16 juta dalam lapan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam hingga 6.30 pagi di dua negeri berkenaan, polis menahan 12 individu berusia 22 hingga 58 tahun termasuk dalang sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Razarudin Husain@ Abd Rasid berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat dan hasil intipan sejak sebulan lalu oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di dalam sebuah kereta di Sungai Nibong, di sini dan merampas 250 ketulan dadah dipercayai ganja kemudian membuat tangkapan seterusnya terhadap seorang lagi lelaki di lokasi tidak jauh dari tangkapan pertama.

"Seterusnya berpandukan kepada tangkapan kedua, polis menyerbu sebuah bengkel membaiki bot yang dijadikan tempat penyimpanan dadah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dan merampas 622 ketulan ganja selain menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang ketika itu sedang tidur," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis kemudian menyerbu sebuah premis di Jitra, Kedah dan menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga dalang sindiket itu.

"Rakan sekutunya iaitu seorang wanita warga Laos berusia 40-an juga turut ditahan dalam serbuan di Bedong, Kedah.

"Seterusnya, polis menahan empat lagi lelaki di sekitar negeri ini yang juga nelayan serta ahli sindiket yang dipercayai berperanan membantu membawa masuk dadah melalui jalan laut ketika mereka menangkap ikan di perairan termasuk sempadan negara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

 ANTARA 872 ketulan dipercayai ganja yang dirampas selepas polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dalam operasi khas sekitar Pulau Pinang dan Kedah. FOTO Danial Saad
ANTARA 872 ketulan dipercayai ganja yang dirampas selepas polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dalam operasi khas sekitar Pulau Pinang dan Kedah. FOTO Danial Saad

Razarudin berkata, bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk dari Laos melalui Thailand ke Malaysia menggunakan jalan laut dan darat yang mana kegiatan itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan menumpukan pasaran dari utara dan selatan tanah air.

"Polis turut menyita pelbagai aset sindiket membabitkan enam kenderaan, sebuah bot fiber dan wang tunai yang mana nilai sitaan aset termasuk dadah bernilai RM2.44 juta.

"Siasatan ke atas semua suspek mendapati tiga daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing empat didapati positif dadah.

"Kesemua yang ditahan kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, peningkatan rampasan ganja khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah disebabkan oleh lambakan ganja di kawasan pengeluar iaitu kawasan segi tiga emas dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengalih modus operandi menggunakan bot fiber atau nelayan untuk membawa muatan ganja dalam kuantiti besar berbanding kenderaan melalui jalan darat.

"Lambakan bekalan ganja di negara pengeluar menyebabkan harga ganja murah dan sindiket pengedaran dadah di Malaysia mengambil kesempatan membawa masuk bekalan dadah itu malah ia turut mendapat permintaan tinggi," katanya.

esemua dadah yang dirampas dalam operasi khas berkenaan dianggarkan untuk kegunaan seramai 2.9 juta penagih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 12:55 PM