MUHAMMAD Afnan kehilangan bapanya yang meninggal dunia akibat angin ahmar.
MUHAMMAD Afnan kehilangan bapanya yang meninggal dunia akibat angin ahmar.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Mas: Hasrat kanak-kanak lelaki ini mencipta memori bersama bapa tersayang pada 'majlis graduasi' sebelum melangkah ke alam persekolahan musnah apabila insan berkenaan meninggal dunia.

Lebih memilukan, Muhammad Afnan Hafiz Sanusi, 6, mendapat khabar duka kehilangan bapa, Sanusi Mat Nawi, 47, ketika berlangsung Majlis Anugerah Prestasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sabtu lalu.

Video kisah kanak-kanak berkenaan meraih 1.4 juta tontonan yang meruntun hati netizen selepas dikongsikan seorang wanita dikenali sebagai Cikgu Yaya yang turut menyertai majlis itu di TikToknya.

Ibunya, Hamidah Mohd Nawi, 42, berkata, dia yang juga guru di Pasti berkenaan tidak dapat menyertai majlis itu kerana menemani suami di Hospital Pasir Mas di sini, Jumaat lalu.

Menurutnya, suami yang diserang angin ahmar dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Ketika itu dua anak ditinggalkan di rumah kakak dan keadaan suami 50-50 serta doktor minta anak berjumpa suami. Dua anak sempat jumpa ayahnya dan Afnan cakap dia tidak boleh ambil sijil esok sebab abi (bapa) tidak sihat.

"Saya telefon rakan yang sama mengajar di Pasti beritahu Afnan tidak boleh pergi, tetapi rakan beritahu kalau anak mahu sertai dia boleh tolong ambil dan hantar. Saya tanya Afnan dan dia beritahu mahu menghadiri majlis itu," katanya, semalam.

Katanya, dia membenarkan anak bongsu daripada dua beradik itu ke majlis berkenaan sebagai kenangan bagi memenuhi hasrat suami yang turut bercadang menghadirinya.

"Tetapi takdir suami yang turut menghidap penyakit darah tinggi akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 8 pagi (Sabtu lalu) dan ketika itu majlis baru bermula. Saya memaklumkan berita itu melalui gurunya.

"Cikgu tak terus beritahu berita itu pada anak dan mereka cepatkan giliran dia terima sijil. Selepas itu baru cikgu beritahu Afnan abinya sudah tiada sebelum dihantar ke rumah.

"Apabila tiba di rumah bersama jenazah suami, saya lihat Afnan dan abangnya berusia 11 tahun menangis," katanya.

Menurut Hamidah, ketika ini emosi kedua-dua anaknya stabil cuma mereka masih sugul dan sering bertanya jika bapanya pulang lagi selepas ini.

"Anak tanya mengapa bapa meninggal dunia dan saya reda dengan pemergian suami di saat anak masih kecil.

"Saya tak sangka kisah anak mendapat perhatian, tetapi saya berterima kasih untuk doa buat keluarga kami," katanya yang tinggal di Kampung Siram di sini.

Sementara itu, Cikgu Yaya, 25, berkata, biarpun tidak mengajar di Pasti terbabit, dia mengenali Muhammad Afnan kerana pernah menerima anugerah tokoh murid ketika berusia lima tahun.

Menurutnya, dia merakam video itu selepas menerima khabar mengenai bapa kanak-kanak berkenaan selain mahu berkongsi di kumpulan WhatsApp sekolah dan kenangan mereka saja.

"Muhammad Afnan nampak kesunyian sebab dia pergi majlis itu dengan cikgu kerana ibunya menjaga bapa di hospital.

"Selepas turun pentas, baru cikgu beritahunya 'abi sudah tiada' dan Afnan hanya mendiamkan diri," katanya yang sayu melihat momen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:01 AM