Gambar terkini Azreena bersama Yaya selepas hampir dua tahun berkongsi hati. FOTO Mary Victoria Dass
Gambar terkini Azreena bersama Yaya selepas hampir dua tahun berkongsi hati. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

“ALHAMDULILLAH, 16 Jun ini genaplah dua tahun kami berkongsi hati.

“Tiada perkara lebih menggembirakan saya sempena Hari Ibu ini kecuali melihat Yaya semakin baik,” kata Azreena Ahmad, 38, yang menyumbangkan sebahagian hati kepada anak keduanya, Alfieya Masri, 3.

Anak kedua daripada tiga beradik itu atau dipanggil Yaya bergantung ubat seumur hidup dan kos rawatan perubatannya mencecah RM1,500 sebulan.

Azreena yang juga suri rumah berkata, pada awalnya doktor hanya menganggarkan jangka hayat Yaya antara enam bulan ke dua tahun namun mereka sekeluarga bersyukur anaknya masih hidup.

Menurutnya, selain menyumbangkan sebahagian hati kepada Yaya, dia perlu memastikan kesihatan kanak-kanak itu baik setiap hari termasuk memakan ubat disyaratkan dan rawatan bulanan di Kuala Lumpur.

Katanya, sebagai penghidap penyakit kronik hati, rawatan susulan perlu dilakukan seumur hidup.

“Pada 16 Jun 2017, 20 peratus hati saya diberikan kepadanya, pembedahan pemindahan hati berjaya dilakukan di Renji Hospital, Shanghai, China.

“Tidak lupa ucapan setinggi terima kasih buat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nadi Permata yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan pembedahan Yaya,” katanya ditemui di Johor Bahru.

Azreena berkata, rawatan susulan kanak-kanak pemindahan hati kebanyakannya dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, bagi memastikan bekalan ubat tidak putus dia dan keluarga sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

“Selain Yaya, saya membesarkan bayi lapan bulan dan anak sulung berusia tujuh tahun, sebagai suri rumah saya berusaha memastikan perbelanjaan harian secara berhemah kerana Yaya memerlukan perbelanjaan lebih.

“Tiada harapan lain melainkan melihat Yaya terus sihat dan bermain seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Azreena berkata, keluarganya bersyukur dengan kesihatan Yaya yang semakin baik dan pada masa sama, dia sebagai penyumbang hati perlu sentiasa memastikan diet pemakanan dan berjaga-jaga.

“Tahun ini kali ketiga saya sambut Hari Ibu bersama Yaya meskipun pada awalnya doktor tidak memberi sebarang harapan kepada anak kami, sama seperti kanak-kanak lain yang menghidap Biliary Atresia.

“Sebagai ibu, tidak sia-sia usaha saya berjuang demi kesihatannya dan akan terus membantunya. Saya bersyukur dengan sokongan moral suami, keluarga dan kenalan.

“Mengenai cabaran mengumpul dana RM180,000, masih sebak di hati terutama melihat rakan suami sanggup menjual kereta untuk menghulurkan bantuan selain bantuan netizen dan pembaca Harian Metro,” katanya.

Menurutnya, bersyukur kerana hasrat dan ikhtiar terakhirnya untuk menyelamatkan nyawa anak menerusi pemindahan 20 peratus hatinya berjaya dan berharap Yaya membesar sebagai anak solehah.

Pada 19 Mei 2017 Harian Metro memaparkan kisah Alfieya, penghidap Biliary Atresia yang memerlukan dana bagi pemindahan hati.

Keluarga itu turut dibantu Baitulmal Johor, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin, Kulai, Persatuan Amal Shan Xin Kajang, Selangor, Persatuan Bikers Ducati Johor dan Kuala Lumpur selain ahli keluarga.

Ketika berusia tiga bulan, Yaya menjalani pembedahan pintasan hati di Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun penyakitnya tidak sembuh.

Berita berkaitan

Mata Alfieya tidak lagi kuning

Bayi pindah hati pulang akhir bulan

Ikhtiar terakhir

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 3:40 PM