Semangat anak perajurit negara, Nur Alyaa Khalisa Fahrurozi, 7, yang mesra disapa Yaya memakai seragam tentera seperti bapa tersayang Fahrurozi A Manaff, 32. FOTO IHSAN KHAIRIAH AZIZAN.
Semangat anak perajurit negara, Nur Alyaa Khalisa Fahrurozi, 7, yang mesra disapa Yaya memakai seragam tentera seperti bapa tersayang Fahrurozi A Manaff, 32. FOTO IHSAN KHAIRIAH AZIZAN.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Jitra: Tanggal 31 Ogos dan 16 September menjadi tarikh paling ditunggu-tunggu Nur Alyaa Khalisa Fahrurozi kerana bukan saja bersemangat meraikan hari bersejarah negara, malah mengingatkannya kepada bapa tersayang, Fahrurozi A Manaff yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).

Itu semangat anak perajurit negara, Nur Alyaa Khalisa, 7, yang mesra disapa Yaya biarpun hakikatnya dia kehilangan bapa tersayang, Fahrurozi A Manaff, 32, ketika berusia setahun sembilan bulan, lima tahun lalu.

Bapanya, Lans Koperal Fahrurozi bersama seorang lagi anggota tentera meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika penugasan operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Tasik Banding di Gerik, Perak pada 26 Jun 2018.

Semangat kanak-kanak perempuan itu jelas terpancar apabila dia bangun seawal jam 5 pagi pada 31 Ogos lalu dan memakai seragam seperti bapanya yang juga anggota 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) (Para) Kem Terendak, Melaka.

Yaya hadir memeriahkan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Kedah Tahun 2023 di Dataran Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah dan mendapat perhatian di TikTok apabila seorang jurugambar berkongsi gambar bersama kisahnya di akaun itu.

Yaya berkata, ini kali pertama dia hadir ke sambutan berkenaan dengan memakai seragam Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti bapanya dan mengakui teruja menyarung baju serta memakai beret 'maroon' kebanggaan bapanya.

"Yaya ingat papa dan setiap malam sebelum tidur mesti tengok gambar serta bacakan doa untuk papa. Kalau rindu papa Yaya selalu doa banyak-banyak untuk papa.

"Yaya gembira dapat tengok askar kawad. Kalau papa masih ada mesti papa join atau Yaya pergi sana (sambutan Hari Kebangsaan) dengan papa. Nanti nak pergi lagi nak tengok kawan papa (anggota tentera) kawad," katanya.

Ibunya, Khairiah Azizan, 34, berkata, sejak suami meninggal dunia dia tidak melepaskan peluang membawa anak tunggal mereka menyambut Hari Kebangsaan.

Menurutnya, namun tahun ini berbeza apabila Nur Alyaa Khalisa mahu memakai seragam tentera seperti dilihatnya di TikTok sebelum dia menempah baju itu dengan tukang jahit berkenaan bagi menunaikan impian anaknya itu.

"Yaya sangat teruja memakai seragam loreng dan beret seperti arwah bapanya. Jam 6 pagi kami bertolak dan sebaik sampai di dataran itu dia berulang kali cakap dengan saya anggota tentera berpakaian seperti bapanya.

"Saya usaha bawa Yaya sambut Hari Kebangsaan kerana mahu dia melihat dengan lebih dekat kerjaya bapanya yang mencari rezeki untuk kami dahulu biarpun sempat bersama dalam tempoh singkat selain menghargai Kemerdekaan," katanya menetap di Taman Desa Damai, di sini, bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:01 AM