GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni

Padawan: Seorang wanita mati mengejut hanya beberapa jam selepas dipukul suaminya ketika bertengkar di rumah sewa mereka di PPR Batu Gong, Siburan di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kematian wanita berusia 43 tahun itu kira-kira jam 10.10 malam semalam, dipercayai akibat kecederaan dialaminya.

"Susulan itu suami mangsa ditangkap dan direman di Mahkamah Kuching semalam untuk membantu siasatan," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, mangsa yang berniaga kuih dikatakan berkahwin dengan suspek berusia 42 tahun kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, mangsa menghalau suaminya keluar dari rumah pada 8 Januari lalu.

Abang Zainal berkata, suspek kemudian muncul semula semalam dengan alasan mahu mengambil pakaiannya yang masih berada di rumah sewa itu.

"Selepas mangsa memberi pakaian diminta, suspek menyatakan hasrat mahu berbincang dengan mangsa sebelum bertindak menolak mangsa di kerusi ruang tamu dan terus menampar kedua-dua pipi mangsa beberapa kali.

"Suspek kemudian mencekik leher mangsa menggunakan sebelah tangan dan menyuruhnya diam.

"Suspek kemudian mengambil bajunya sebelum mangsa bertindak melarikan diri dan meminta bantuan jirannya. Suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian pulang ke rumah keluarganya di Kampung Panchor di sini.

"Namun kira-kira jam 8 malam, mangsa mengadu sakit di bahagian telinga sebelum tangannya menjadi kejang sebelum terbaring dalam pelukan kakaknya," katanya.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.48 malam oleh pegawai perubatan.

Menurut Abang Zainal, punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menghalau dan menuntut cerai daripada suspek kerana suspek enggan bekerja sejak setahun lalu.

Katanya, suspek juga sering meminta wang tetapi tidak membantunya berniaga, serta hanya tidur dan makan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:27 PM