SUSPEK yang dalam keadaan berbogel ditahan selepas cuba melanggar anggota polis yang bertugas di SJR Jalan Batu Kawa. FOTO Melvin Joni
SUSPEK yang dalam keadaan berbogel ditahan selepas cuba melanggar anggota polis yang bertugas di SJR Jalan Batu Kawa. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Seorang lelaki mabuk yang menunggang motosikal dalam keadaan bogel ditahan selepas cuba merempuh petugas sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Batu Kawa di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.38 pagi ketika anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di SJR berkenaan cuba menahan suspek.

"Ketika diarahkan berhenti, suspek cuba melanggar anggota bertugas sehingga memaksa anggota terbabit menendang tayar depan motosikalnya sehingga suspek terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 28 tahun itu dalam keadaan mabuk.

Katanya, suspek mengalami luka di tangan kanan akibat terjatuh dari motosikal dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

"Berdasarkan maklumat ahli keluarga, suspek mempunyai masalah mental namun polis menunggu laporan perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:11 PM