DADAH serta rampasan lain yang dibuat daripada suspek kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah. FOTO Ihsan PDRM
DADAH serta rampasan lain yang dibuat daripada suspek kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Padawan: Seorang penganggur yang baru berjinak-jinak sebagai pengedar dadah ditahan selepas didapati memiliki 75.10 gram syabu dan 32.35 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM9,127.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sebuah kafe di Jalan Moyan, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dadah jenis syabu itu dianggarkan bernilai RM7,510, manakala ganja dianggarkan bernilai RM1,617.

"Suspek ditahan ketika duduk di dalam sebuah premis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Ketika tangkapan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, suspek kemudian membawa polis ke kenderaan jenis Mitsubishi Lancer yang diletakkan di bahagian parkir belakang bangunan K9 Cafe.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah jenis syabu dan satu bungkusan kecil berisi ketulan-ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja, yang masing-masing dijumpai di dalam 'arms rest' kenderaan itu.

"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah terlibat dengan pengedaran dadah selama tiga bulan.

"Suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali di sekitar kawasan Kuching.

"Usaha diteruskan bagi mengenal pasti dan mengesan pengedar dadah terbabit," katanya.

Abang Zainal berkat,a suspek yang juga penganggur didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan, sementara polis mendapatkan perintah reman daripada mahkamah hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 10:32 AM