DUA tahanan yang masih bebas dan sedang diburu. FOTO Melvin Joni
DUA tahanan yang masih bebas dan sedang diburu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Operasi besar-besaran sedang dilaksanakan bagi memburu dua lagi tahanan Penjara Puncak Borneo di sini, yang melarikan diri petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, Ops Tutup dijalankan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Platun Tiger Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan rondaan penjara.

Katanya, tumpuan operasi adalah di sekitar kawasan perumahan Prima Batu 11, perkuburan Cina Batu 15, kawasan Landeh, Kampung Jawa dan kawasan Taman Negara Semenggoh.

"Hebahan juga dibuat di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 16 Jalan Kuching-Serian, Kampung Bratan Jalan Puncak Borneo, Jalan Batu Kitang dan Jalan Batu Kawa," katanya yang dihubungi, hari ini.

Menjelas lanjut, Jaw Shyong berkata dua tahanan yang masih bebas itu dikenali sebagai Mohamad Fikrry Azzarudin Abdullah, 26, berasal dari Sibu dan Rahmat Simbolan, 38, warga Indonesia.

Manakala, katanya dua lagi tahanan ditangkap semalam oleh pasukan rondaan penjara malam tadi.

Beliau berkata, Diveni Bunby, 36, dari Kampung Stunggang Ulu, Lundu ditangkap di kawasan perumahan Prima Kampung Sinar Baru kira-kira jam 6.25 petang, manakala Bobin Bahan, 29, dari Batu 12, Jalan Semenggok Off, Jalan Puncak Borneo ditangkap di Lorong 2, Kampung Sinar Baru kira-kira jam 10.50 malam.

Menurut Jaw Shyong, berdasarkan laporan dari pihak penjara, keempat-empat tahanan berkenaan yang berada di Rumah A1 Penjara Puncak Borneo dilaporkan melarikan diri melalui tingkap tandas ruang tamu lalu menuju ke pagar utama.

Suspek kemudian menuju ke pintu kedua Kompleks Penjara Puncak Borneo dan keluar menghala ke kawasan hutan yang berhampiran pada jam kira-kira 5.12 petang.

Susulan itu, beliau berkata telah dibunyikan dan pasukan pencari ditubuhkan.

"Sebelum kejadian, pihak penjara ada membuat tugas rondaan di tempat kejadian untuk memastikan kesemua banduan masih terkawal serta dalam keadaan baik.

"Ketika kejadian, keadaan cuaca adalah hujan lebat serta angin kuat," katanya.

Jaw Shyong menambah, semua suspek adalah tahanan reman penjara yang ditahan di Pusat Transit Penerimaan (PTP), Penjara Puncak Borneo.

Jelasnya, PTP berkenaan adalah dikhaskan untuk menempatkan pesalah yang sedang menjalani tahanan reman penjara, sementara menunggu tarikh bicara atau sebutan semula kes.

"Ketika kejadian, seramai 59 tahanan reman penjara ditempatkan di tempat kejadian termasuk kesemua suspek.

"Tempat kejadian juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) serta turut dipasang jeriji pada setiap bahagian pintu dan tingkap.

"Suspek dipercayai melarikan diri melalui tingkap tandas rumah dengan cara mencabut jeriji," katanya.

Berita berkaitan

Dua banduan berjaya ditangkap, dua lagi masih bolos

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 5:03 PM