SUSPEK ditahan kerana sering menampar isterinya. FOTO Melvin Joni
SUSPEK ditahan kerana sering menampar isterinya. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Sikap panas baran seorang lelaki yang sering menampar isterinya setiap kali bertengkar menerima padah apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.57 malam susulan laporan polis yang dibuat isterinya.

Katanya, akibat perbuatan suspek, wanita warga Filipina berusia 30 tahun itu mengalami lebam di muka dan lengan.

"Suspek mengaku menampar serta menolak isterinya setiap kali mereka bertengkar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, suspek dilaporkan sudah lima kali melakukan perbuatan itu sejak mereka berkahwin pada 2019 dan kini mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 4:49 PM