Tengku Hassanal menyaksikan telatah seekor orang hutan ketika melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh. FOTO BERNAMA
Tengku Hassanal menyaksikan telatah seekor orang hutan ketika melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Telatah Seduku, seekor orang utan sedang menikmati makanan antara aksi hidupan liar yang menarik perhatian Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di sini, hari ini.

Ketibaan baginda kira-kira 9.30 pagi ke pusat yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar raya ini, disambut oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut mengiringi baginda dalam lawatan itu.

Tengku Hassanal yang meluangkan masa kira-kira tiga jam sempat singgah di sebuah galeri mini di pusat itu.

Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat berhubung perlindungan hutan dan taman negara oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Abang Arabi Abang Aimran, serta Pelan Perubahan Iklim dan Strategi Net Zero Sarawak oleh Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Abang Ahmad Abang Morni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 4:25 PM