Anak Orang Utan yang baru dilahirkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Semenggoh. Foto Ihsan SFC
Anak Orang Utan yang baru dilahirkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Semenggoh. Foto Ihsan SFC
Mohd Roji Kawi


PROGRAM pemuliharaan Orang Utan di Sarawak sekali lagi mencatat kejayaan apabila seekor lagi anak haiwan terlindung itu dilahirkan.

Ahli keluarga terbaru di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh dekat Kuching itu dilahirkan Orang Utan berusia 31 tahun bernama Minah yang dipercayai anak keempatnya itu kira-kira tiga hari lalu.

Ia berdasarkan pemerhatian petugas SFC yang kali terakhir melihat Minah di kawasan pemberian makanan pada 23 Julai lalu.

Jurucakap SFC dalam kenyataan di Facebook yang muat naik malam tadi memaklumkan, Minah disedari beranak apabila dia kembali ke tempat pemberian makanan pada jam 2.30 petang semalam bersama anaknya itu.

“Kelahiran anak Orang Utan itu adalah satu lagi kejayaan SFC dalam usaha pemuliharaan haiwan terbabit di negeri ini.

“Anak Orang Utan terbaru ini dianggarkan lahir pada 26 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, SFC belum memberikan nama rasmi untuk ahli keluarga terbaru Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh itu.

Ketika ini, terdapat lebih 30 ekor Orang Hutan dibiarkan hidup bebas Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh yang dikelilingi hutan simpan seluas 300 hektar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:57 PM