ORANG Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh. FOTO Melvin Joni
ORANG Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Tiada laporan manusia dibunuh oleh Orang Utan malah haiwan yang dikenali dengan sifat lembut dan pemalu itu tidak akan mengejar atau menyerang manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata, dalam bertahun-tahun kerja lapangan, pihaknya mendapati Orang Utan bersifat introvert, pemalu dan hanya cenderung untuk duduk dan melihat manusia.

Beliau berkata, disebabkan sifat itu, penyelidik hidupan liar menganggapnya sebagai rahmat jika bertemu dengan Orang Utan di alam liar.

"Orang Utan adalah haiwan yang lembut, mereka tidak akan menyerang anda malah tidak mungkin cuba mengejar anda.

"Jika anda dapat melihat mereka di habitat semula jadi atau Pusat Hidupan Liar Semenggoh, anda akan perasan bahawa mereka suka menghabiskan banyak masa duduk diam dan tidak menunjukkan sebarang tanda agresif.

"Mereka tidak menyusahkan sesiapa, mereka tidak mahu ada kaitan dengan kita...mereka terlalu sibuk meneruskan kehidupan," katanya yang dihubungi, hari ini.

Sementara, Zolkipli yang juga Kontroler Hidupan Liar Sarawak berkata, pihaknya menjangkakan tiga anak Orang Utan dilahirkan pada tahun ini dalam populasi separa liar iaitu di Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC).

"Ini menandakan kali pertama SWC akan mempunyai begitu banyak kelahiran dalam tempoh setahun.

"Mungkin pengurangan pelancong ke SWC adalah faedah tambahan kerana Orang Utan dapat meneruskan kehidupan sekali gus meningkatkan populasi yang terancam di negeri ini," katanya.

Di Sarawak, Orang Utan adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Malah, pemuliharaan Orang Utan di Sarawak bermula lebih awal pada 1940-an.

Orang Utan mempunyai tiga spesies yang utama iaitu Orang Utan Borneo, Orang Utan Sumatra dan Orang Utan Tapanuli (disahkan pada 2017).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 4:13 PM