PENGUAT KUASA DBKL menyita peralatan perniagaan yang diletakkan di atas laluan dan jalan di tempat awam tanpa kebenaran. FOTO Ihsan FB DBKL
PENGUAT KUASA DBKL menyita peralatan perniagaan yang diletakkan di atas laluan dan jalan di tempat awam tanpa kebenaran. FOTO Ihsan FB DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Syurga barang tiruan, Petaling Street sekali lagi digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi operasi khas yang mensasarkan premis makanan, semalam.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, empat restoran dikenakan tindakan kerana meletakkan kerusi, meja, gerai beroda, payung, tong gas di laluan pejalan kaki secara haram.

"Tindakan Khas Pindah ini diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama 32 pegawai dan anggota dengan mensasarkan premis perniagaan yang melakukan kesalahan halangan.

"Operasi juga mensasarkan premis yang beroperasi tanpa lesen diusahakan warga asing," menurut hantaran hari ini.

Menurut hantaran itu, sebanyak empat kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan satu notis di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Iklan 1982 serta enam di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

"Sebanyak 80 peralatan perniagaan yang disita dan dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras untuk rekod serta dokumentasi.

"DBKL mengingatkan kepada mana-mana pemilik premis perniagaan agar memastikan syarat-syarat lesen sentiasa dipatuhi dan tidak membuat sebarang halangan di tempat dan laluan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 11:23 PM