PREMIS menyimpan ayam dan itik hidup dikendali warga Myanmar diarah tutup. FOTO Ihsan DBKL
PREMIS menyimpan ayam dan itik hidup dikendali warga Myanmar diarah tutup. FOTO Ihsan DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Selayang: Premis menyimpan ayam dan itik dikendali warga Myanmar diarah tutup serta merta dalam Operasi Tindakan Khas Premis Perniagaan sekitar Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, di sini semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pemeriksaan Pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Kesihatan DBKL mendapati premis itu dalam keadaan kotor dan berbau busuk.

"Premis ini menimbulkan kacau ganggu awam membabitkan isu kekotoran, halangan laluan dan bau yang busuk sekitar kawasan terdekat.

"DBKL mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan notis kompaun warga asing mengendalikan premis tanpa kebenaran di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," katanya.

Sementara itu dalam satu lagu operasi penguatkuasaan di lokasi sama kelmarin, DBKL menyita 10 ekor ayam dan tujuh itik dari sebuah premis di sini selepas menerima aduan daripada orang awam.

"Adalah menjadi kesalahan memelihara haiwan hidup di dalam premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan kerana boleh menyebabkan kacau ganggu.

"DBKL mengingatkan pemilik premis perniagaan sentiasa mematuhi syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan tidak menimbulkan sebarang kacau ganggu di tempat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 12:14 PM