GAMBAR fail Dr Haniif di Rafah. FOTO Facebook Tok Wanz
GAMBAR fail Dr Haniif di Rafah. FOTO Facebook Tok Wanz
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seluruh warga Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) sangat menghargai pengorbanan pakar bedah am dari universiti itu Dr Haniif Ahmad Mazian yang sedang berbakti membantu rakyat Palestin di Rafah.

Naib Canselor Unisza Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, mereka di Unisza mendoakan kelancaran tugas Dr Haniif bersama pasukan perubatan Malaysia dan semua pejuang yang kini berusaha membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Israel.

"Kami di Unisza mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kakitangan kami, iaitu Dr Haniif yang kini berada di Rafah.

"Insya-Allah, kami harap dia pulang dengan selamat ke Malaysia dan kembali bersama ke pangkuan keluarga dia nanti.

"Sungguh besar pengorbanan dia di sana untuk membantu saudara Islam di bumi Palestin, kami sangat bangga dan menghargainya

"...dan saya harap setiap umat Islam juga mendoakan kesejahteraan umat Islam termasuk para pejuang yang kini berusaha membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Israel," katanya kepada Harian Metro.

Dr Haniif adalah antara enam rakyat Malaysia membabitkan lima doktor pakar dan seorang kakitangan logistik terkandas di sebuah hospital di Rafah, Palestin selepas memasuki zon peperangan antara Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza sejak 1 Mei lalu.

Sukarelawan perubatan Malaysia yang terkandas di Rafah selain Dr Haniif adalah Pakar Perubatan Klinikal Pembedahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohd Syafwan Adnan, Doktor Trauma dan Bedah Mercy Malaysia Dr Ashok Kannan, Pakar Anestesia Hospital KPJ Kuantan Dr Md Lukman, Pakar Ortopedik Hospital An Nur Dr Rohaman dan pegawai logistik Mercy Malaysia Radzi.

Malam tadi Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan Qatar, dalam usaha membawa pulang enam anggota pasukan perubatan Malaysia dari Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah, Gaza sejak 1 Mei lalu.

Kementerian Luar berkata, kerjasama itu berdasarkan perbincangan terkini yang diketuai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Lolwah Rashid Al-Khater.

"Selain itu, Kementerian Luar juga bekerjasama dengan Republik Arab Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi memastikan mereka dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik.

"Memandangkan situasi yang tegang dan cepat berubah, adalah penting operasi menyelamat dijalankan dengan cekap dan lancar melalui saluran diplomatik," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:28 PM