Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika Malam Gala filem Memoir Seorang Guru di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika Malam Gala filem Memoir Seorang Guru di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pembatalan saat akhir permit persembahan pelawak kontroversi dari Singapura, Sharul Channa yang sepatutnya berlangsung kelmarin di Petaling Jaya dibuat selepas mengambil kira laporan polis berkaitan satu video lamanya yang dikatakan menyentuh isu bangsa, agama dan institusi raja (3R).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dia dimaklumkan Agensi Permohonan Penggambaran Artis Luar Negara (Puspal) mendapat maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat sejumlah laporan polis diterima berkait video lama oleh pelawak itu pada 2018 yang dimuat naik semula, baru-baru ini.

"Akibat video yang dimuat naik itulah sejumlah laporan polis dibuat dan laporan polis itu dikatakan ada berkait isu 3R. Itu mungkin video lama, tapi laporan polis itu berkait isu 3R

"Justeru, Puspal mendapat maklumat mengenai perkara itu dan membuat keputusan berdasarkan senario terbabit," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Memoir Seorang Guru di pawagam di sini, malam tadi.

Mengenai tindakan Puspal itu, Fahmi berkata, ia juga satu peringatan kepada artis dalam dan luar negara supaya tidak menyentuh sama sekali isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara ini.

"Di Malaysia, kalau kita sentuh isu 3R maka pihak berkuasa akan bertindak dan itu peringatan yang saya berikan sama ada kepada pengguna media sosial dan kepada artis. Isu ini adalah dalam bidang kuasa dan siasatan pihak polis," katanya.

Terdahulu, Sharul menerusi hantaran video di Facebook meluahkan kekecewaannya apabila pembabitannya menerusi persembahan komedi, Just Joking di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan Puspal, dua hari sebelum acara itu berlangsung.

Sharul dijadual muncul bersama pelawak tempatan seperti Rizal Van Geyzel dan Mad Sabah berkata, pembatalan itu berlaku walaupun dia memberi jaminan tidak akan menyentuh isu 3R.

Susulan itu, timbul dakwaan mengatakan pembatalannya berkait dengan laporan polis terhadap klip video 2018 yang didakwa menyentuh isu 3R.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Laugh Labs Entertainment, Phoon Chi Ho, selaku penganjur Just Joking berkata, Kementerian Komunikasi membatalkan visa kerja Sharul, walaupun semua permit dan kelulusan diperlukan sudah dipohon serta diterima seminggu sebelum penjualan tiket bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 12:52 PM