GAMBAR tular di media sosial menunjukkan tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan bayi dilihat dilengkapi alat bantuan pernafasan. FOTO tular
GAMBAR tular di media sosial menunjukkan tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan bayi dilihat dilengkapi alat bantuan pernafasan. FOTO tular
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Kepayahan hidup dilalui pasangan suami isteri untuk menyara anak mereka yang menghidap masalah paru-paru, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan.

"Mohon sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarga ini untuk salurkan kepada saya di ruangan komen di bawah agar kami dapat menghubungi mereka.

"Hal ini mendapat perhatian Anwar dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini untuk menambah baik kehidupan seharian mereka," katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, gambar mereka sekeluarga menaiki motosikal dengan isteri menggendong anak sambil memakai beg dilengkapi alat bantuan pernafasan bagi kegunaan bayi mereka, tular di laman sosial.

Difahamkan, cahaya mata pasangan suami isteri itu perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan untuk menjalani aktiviti harian.

Sementara itu, semakan di Facebook Arena Motor mendapati pasangan berkenaan dikenal pasti mendiami kediaman yang terletak di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah di Kedah.

Pemilik akaun itu turut memaklumkan, lelaki yang hanya dikenali sebagai Azlan itu bekerja sebagai nelayan dan menerima upah harian.

"Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu. Perkongsian daripada inbox oleh follower (pengikut) kami.

"(Mereka) tiada kereta, dengan motosikal itulah mereka sekeluarga berulang-alik untuk ke hospital.

"Individu perseorangan dan sahabat permotoran yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik isterinya, Norhidayu Halim 0210029000677695," katanya.

Info
Azlan boleh dihubungi di talian 01129981569
Alamat kediaman: No 179 Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, Kedah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:16 PM