FOTO Ihsan DBKL
FOTO Ihsan DBKL
FOTO Ihsan DBKL
FOTO Ihsan DBKL
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Enam premis yang menjalankan aktiviti restoran, pub, kelab malam dan pusat hiburan sekitar Parlimen Cheras dan Bukit Bintang diserbu Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

DBKL menerusi hantaran di Facebooknya berkata, Tindakan Khas Premis Berisiko (Kelab/Premis Hiburan) Siri Empat 2023 itu dilaksanakan selepas mendapat maklumat premis berkenaan telah melanggar syarat lesen.

Katanya, tiga tindakan penutupan diambil serta merta dan peralatan juga disita di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

"Ini termasuklah membuka tiga kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (Live Band / DJ) tanpa kebenaran ) Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993

"Kita juga menyita 16 pelbagai peralatan muzik tiga buah premis berkenaan melibatkan tablet, pemutar, mikrofon, pembesar suara, pengadun, pengawal mikrofon dan pengawal bunyi," katanya hari ini.

DBKL berkata, kesemua peralatan itu telah dihantar ke Setor Sitaan, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis.

"Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kawasan tumpuan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

From: Mohammad Khairil Ashraf

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 11:58 PM