PEGAWAI DBKL membuat pemeriksaan di dua pusat hiburan tidak berlesen. FOTO Ihsan DBKL
PEGAWAI DBKL membuat pemeriksaan di dua pusat hiburan tidak berlesen. FOTO Ihsan DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua pusat hiburan tanpa lesen digempur dalam satu operasi Tindakan Khas Premis Berisiko 1/24 di Jalan Sungai Besi dan Jalan Metro Pudu, di sini semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, serbuan dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula jam 9 malam hingga 2 pagi hari ini.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan bersepadu bersama JKDM dan JIM di dua buah premis terbabit, DBKL mengenakan satu tindakan penutupan (sealed) serta merta.

"DBKL turut menyita peralatan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka 1 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(b) kerana membuka tempat hiburan tanpa lesen," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

DBKL berkata, 19 jenis peralatan muzik antaranya spinner, mikrofon, pembesar suara, termasuk kerusi, meja dan lain-lain peralatan dirampas di kedua-dua premis terbabit.

"Kesemua peralatan muzik dihantar ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja di sjni untuk di dokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis.

"Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari masa ke semasa mengikut siri Tindakan sekitar parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 9:19 PM