DBKL menyita 14 tuk-tuk yang dikendalikan tanpa lesen. FOTO Ihsan Facebook DBKL
DBKL menyita 14 tuk-tuk yang dikendalikan tanpa lesen. FOTO Ihsan Facebook DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dikesan beroperasi tanpa lesen, 14 kenderaan beroda (tuk-tuk) di sita dalam operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, operasi jam 10 malam itu dijalankan secara mengejut oleh Jabatan Penguatkuasa DBKL dan Cawangan DBKL Setiawangsa yang menyasarkan peniaga tanpa lesen di Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling.

"Operasi khas diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Noor Azman Mahlin membuat pemeriksaan mengejut berkaitan isu aktiviti perniagaan.

"Permasalahan termasuk penjaja makanan, minuman, kendera saji, peralatan mainan serta aktiviti penyewaan basikal dan tuk-tuk," katanya hari ini.

Menurutnya, 14 kenderaan tuk-tuk berkenaan disita selepas pemilik gagal mempamerkan lesen atau permit bagi membina stor simpanan sementara di tempat awam.

Katanya, DBKL turut membuat satu tindakan sitaan ke atas penjaja makanan dan minuman tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di tempat awam.

"Tindakan penguatkuasaan khas dijalankan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"DBKL akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan susulan selepas ini bagi memastikan semua aktiviti perniagaan yang mendapat lesen kelulusan dan kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 6:01 PM