TONG minyak yang ditinggalkan. FOTO Ihsan PGA
TONG minyak yang ditinggalkan. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, dua penyeludup melarikan diri dengan meninggalkan 80 tong minyak petrol.

Kesemua tong yang berisi 2,000 liter petrol itu ditemui di Pangkalan Haram Ular, Pengkalan Kubor, di sini pada jam 9.30 malam tadi oleh sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika anggotanya menjalankan rondaan sempena Op Benteng Covid di kawasan itu, pihaknya ternampak dua lelaki di tebing Sungai Golok.

"Dua lelaki itu dilihat sedang memunggah sejumlah tong di tebing sungai berkenaan.

"Menyedari kehadiran anggota kami, dua lelaki itu terus melarikan diri ke seberang sungai menggunakan perahu ke Thailand.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai 80 tong berisi minyak petrol di tebing Sungai Golok disyaki untuk diseludup ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, kesemua minyak petrol yang bernilai RM3,560 itu dibawa balik ke Balai Polis Kuala Jambu untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 12:44 PM