Tangki tambahan yang diubahsuai di bawah papan pemuka dan bonet untuk mengisi petrol ditemukan dalam kereta Proton Saga ketika serbuan di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu, di sini. FOTO IHSAN KPDN
Tangki tambahan yang diubahsuai di bawah papan pemuka dan bonet untuk mengisi petrol ditemukan dalam kereta Proton Saga ketika serbuan di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu, di sini. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris

Tumpat: Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang lelaki yang sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sini, lintang pukang melarikan diri.

Dalam kejadian pada 10 pagi semalam itu, lelaki yang memandu kereta Proton Saga di stesen minyak di Wakaf Bharu sedang membuat pengisian sebanyak RM150 sebelum serbuan dibuat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, sebaik diserbu lelaki itu terus melarikan diri sehingga nozel terjatuh dari tangki minyak kereta.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu ditemukan dua tangki tambahan yang diubah suai iaitu untuk petrol di bawah papan pemuka, manakala di bonet pula untuk diisi dengan petrol.

"Lelaki itu membuat pembayaran secara dalam talian dan bagaimanapun kita akan membuat siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada pemilik premis turut bersubahat dalam aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam operasi bersepadu yang dibuat bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sempena Op Tiris itu, satu lagi rampasan diesel dilakukan yang ditemui dalam kenderaan Mitsubishi Pajero.

Azman berkata, kenderaan itu ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pagi semalam.

"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu ditemukan sejumlah tong plastik yang mengandungi minyak diesel dianggarkan sebanyak 1,300 liter.

"Kita percaya bahan bakar itu akan dibawa ke mana-mana pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk diseludup ke negara jiran dan kedua-dua kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 2:30 PM