MINYAK masak yang ditemukan dalam kereta. FOTO ihsan KPDNHEP
MINYAK masak yang ditemukan dalam kereta. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki dipercayai penyeludup melarikan diri dengan meninggalkan 1,020 kilogram (kg) minyak masak dalam sebuah kereta.

Tindakan itu dilakukan sebaik menyedari kenderaan yang dipandunya itu diekori pihak berkuasa bermula dari Pasir Pekan hingga memasuki Jalan Hulu Stesen Wakaf Bharu di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Azman Ismail berkata, hasil maklumat risikan pihaknya, kenderaan jenis Proton Wira Aeroback itu dikesan pada 5 petang semalam dan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami mengekorinya kenderaan itu namun ia disedari pemandunya sebelum dia bertindak memecut kenderaannya itu.

"Dengan bantuan Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, kereta itu berjaya dipintas di laluan kecil tapi pemandunya bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan meninggalkan kereta seterusnya gagal dikesan.

"Pemeriksaan dalam kereta mendapati sebanyak 1,020 kg minyak masak dengan anggaran nilai RM2,550 ditemukan dan dipercayai untuk diseludup ke Thailand," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya sudah menjalankan risikan sejak dua minggu lalu terhadap kenderaan itu yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan minyak masak yang diambil dari daerah lain di negeri ini.

Katanya lagi, kegiatan penyeludupan itu dilakukan secara berkumpulan dengan beberapa kenderaan berasingan dan terdapat khidmat tonto digunakan untuk mengawasi pihak berkuasa.

"Semua minyak masak yang dibawa oleh beberapa penyeludup itu akan dibawa ke mana-mana pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok.

"Siasatan dan tindakan selanjutnya akan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua barangan yang ditinggalkan disita untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:43 PM