TONG berisi petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand yang tersimpan dalam stor dekat tebing Sungai Golok. FOTO Ihsan PGA.
TONG berisi petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand yang tersimpan dalam stor dekat tebing Sungai Golok. FOTO Ihsan PGA.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri dengan bot ke Sungai Golok, Thailand selepas stor penyeludupan petrol diserbu pihak berkuasa.

Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pengkalan haram Cikgu, Pengkalan Kubor di sini, pada 6.30 petang semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa serbuan, anggota melihat beberapa individu sedang memunggah tong biru yang disyaki berisi petrol ke dalam perahu di tebing Sungai Golok.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka melarikan diri dengan menaiki bot ke arah negara jiran (Thailand) bersama sejumlah tong minyak yang terdapat dalam perahu terbabit.

"Pemeriksaan di kawasan stor itu menjumpai 50 tong biru dan kelabu yang tersusun di satu sudut dekat pintu dan selebihnya berada di atas tanah berdekatan tebing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, semua petrol yang dirampas adalah sebanyak 1,250 liter dianggarkan bernilai RM2,137.50.

Menurutnya, siasatan awal mendapati petrol itu diperoleh daripada stesen minyak di sekitar pekan Pengkalan Kubor dan dibawa ke pangkalan haram menggunakan kenderaan persendirian.

"Bahan bakar itu kemudiannya dipindahkan ke dalam tong sebelum diseludup ke negara jiran. Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 12:42 PM