SAHARUDDIN (kanan) menunjukan sebahagian lori yang disita dalam serbuan di Kampung Labuhan Kerteh. FOTO Rosli Ilham
SAHARUDDIN (kanan) menunjukan sebahagian lori yang disita dalam serbuan di Kampung Labuhan Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel secara haram dengan rampasan berjumlah RM425,000 di Kampung Labuhan Kerteh, malam tadi.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 19,550 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang digunakan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel terbabit.

"Kita turut menahan enam lelaki warga tempatan berusia 29 hingga 56 tahun dan ketika serbuan mereka didapati sedang memindahkan diesel dari lori ke dalam tangki penyimpanan.

"Kita turut menyita dua buah lori tangki, sebuah lori kanvas, dua buah kepala lori, 10 tong dan tiga buah skid tank untuk tujuan siasatan," katanya dalam sidang media di Kerteh, hari ini.

Saharuddin berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan risikan yang dilakukan anggotanya sejak tiga bulan lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori yang diubahsuai bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di sekitar Kerteh dan Paka.

"Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram ini dan dipindahkan ke dalam skid tank sebelum dijual semula," katanya.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat serta rantaian yang terbabit dalam pengedaran minyak diesel terbabit.

"Bagi kesalahan di bawah akta itu, boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 3:30 PM