KPDN Kedah menyita mesin pembungkus beras dalam pemeriksaan di sebuah kilang beras di Mergong. FOTO Ihsan KPDN
KPDN Kedah menyita mesin pembungkus beras dalam pemeriksaan di sebuah kilang beras di Mergong. FOTO Ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita sebuah mesin pembungkus beras di sebuah kilang beras di Mergong, di sini, hari ini.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati mesin yang digunakan untuk membungkus beras terbabit disyaki tidak ditentusahkan.

"Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM35,000 dan kesalahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

"Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah akta yang sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan dilakukan oleh Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih bermula jam 8.30 pagi, yang turut disertai Kawalselia Beras dan Padi (KPB), polis dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sementara itu, sebuah kilang beras di Simpang Empat turut dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai permit untuk menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel.

Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan, penguat kuasa KPDN turut menemui sebuah skid tank yang mengandungi diesel dalam anggaran 6,000 liter dan 3,000 liter di dalam tiga unit IBC Tank

"Nilai rampasan bagi minyak diesel dianggarkan berjumlah RM28,800 manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM29,400.

"Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana pelanggaran Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Menurutnya, KPDN Kedah menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 9:28 PM