BERNAMA

Kuala Nerus: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menahan sebuah kapal pelancongan dipercayai menjalankan aktiviti pemindahan diesel secara haram di sebuah jeti persendirian di Kampung Batin, di sini, malam tadi.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, dalam operasi kira-kira 11.15 malam itu, tiga lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pekerja kapal berkenaan turut ditahan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh lapan anggota dan pegawai penguat kuasa selepas pemantauan selama tiga bulan hasil maklumat orang awam dan risikan.

"Kami berjaya merampas 46,000 liter diesel dan sebuah kapal pelancongan yang telah diubah suai untuk tujuan penyelewengan dan anggaran nilai rampasan keseluruhan hampir RM400,000.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga lelaki tersebut sedang leka menjalankan kerja-kerja pemindahan diesel dari square tank di atas kapal ke sebuah skid tank di jeti persendirian," katanya pada sidang media di jeti persendirian Kampung Batin, hari ini.

Menurut Saharuddin, siasatan bagi mengesan pemilik sebenar kapal berkenaan dan sumber diesel diperoleh akan dijalankan secara terperinci.

"Tiga lelaki yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman bagi syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:42 PM
SAHARUDDIN (kiri) meninjau aktiviti pemindahan diesel secara haram dalam kapal di sebuah jeti persendirian di Kampung Batin. FOTO BERNAMA
SAHARUDDIN (kiri) meninjau aktiviti pemindahan diesel secara haram dalam kapal di sebuah jeti persendirian di Kampung Batin. FOTO BERNAMA