GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya sindiket penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang menyasarkan 20 stesen minyak membabitkan nilai rampasan bernilai RM300,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memaklumkan pihaknya menerima serahan kes daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penyelewengan diesel bersubsidi pada 11 Januari lalu.

Menurutnya, ia adalah susulan serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota polis Bukit Aman pada 10 Januari lalu di sebuah premis dipercayai stor haram yang beralamat di Chan Sow Lin, Sungai Besi menerusi Ops Tiris 3.0.

"Lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan bagi tujuan siasatan membabitkan empat orang darinya adalah pemandu lori dan seorang seorang pekerja di stor terbabit.

"Risikan dijalankan oleh PDRM Bukit Aman selama seminggu dan mendapati terdapat beberapa buah lori bonded lima tan berulang-kali membeli diesel di stesen minyak sekitar Ampang.

"Maklumat risikan mendapati premis beroperasi sejak pertengahan Disember lalu dan hasil maklumat pembelian yang dilakukan oleh sindiket ini membabitkan 20 buah stesen minyak," katanya ketika sidang media di pejabat KPDN Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ariffin berkata, stesen minyak terbabit turut disiasat oleh KPDN memandangkan terdapat pembelian berulang dalam sehari dilakukan oleh lori yang sama.

Menurutnya, hasil semakan di premis tidak memiliki sebarang lesen atau permit bagi berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel.

"Berdasarkan pemerhatian, diesel yang dibeli akan dikumpulkan di lokasi tempat kejadian sebelum dipindahkan ke lori tangki yang datang ke stor berkenaan dan kemudiannya akan dihantar ke luar kawasan Kuala Lumpur.

"Sitaan semula dilakukan oleh KPDN WPKL membabitkan empat buah lori bonded lima tan, dua buah 'skid tank' berkapasiti 20,000 liter setiap satu, 40 unit IBC tank, lima unit pam penyedut berserta hos dan 44,000 liter cecair disyaki diesel dianggarkan bernilai RM94,600 termasuk keseluruhan barang rampasan termasuk cecair diesel dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

"Semua barang rampasan termasuk peralatan dan lori disimpan di setor penyimpanan KPDN, manakala minyak diesel rampasan akan diberikan kepada tender dan dijual kepada premis yang sah.

"Pihak KPDN juga tidak menolak sebarang kemungkinan, di mana aktiviti ini dijalankan secara bersindiket serta mengawal kawasan tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 1:22 PM