MOHD Nassuruddin (kanan) bersama Mohammad Ahmad Shazly (dua kiri) memeriksa kit makanan yang disumbangkan oleh Petronas untuk diagihkan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Nassuruddin (kanan) bersama Mohammad Ahmad Shazly (dua kiri) memeriksa kit makanan yang disumbangkan oleh Petronas untuk diagihkan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Yayasan Petronas tampil membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menyumbangkan 1,500 kit keperluan asas.

Kit bernilai RM300 setiap satu itu diberikan kepada setiap ketua keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) menerusi program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Mohammad Ahmad Shazly berkata, setiap keluarga menerima sumbangan Pakej Prihatin merangkumi keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral.

"Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023 adalah salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membantu mangsa banjir yang terjejas.

"Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan.

"Sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk kad hadiah Petronas itu disampaikan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Kelantan.

"Sejak 2019, Yayasan PETRONAS sudah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada isi rumah yang terjejas oleh banjir. Sumbangan ini dijalankan setiap tahun dan disampaikan berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 12:18 PM