Siti Rohana Idris


KIRA-KIRA 400 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini menerima sumbangan daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sumbangan dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, susu, minyak masak, telur, makanan dalam tin, tepung gandum dan kad minyak Petronas diagihkan kepada golongan sasar di empat daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Selain Kelantan, sumbangan melalui cabang tanggungjawab sosial korporat Yayasan Petronas dan anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) itu turut diagihkan kepada 500 keluarga lagi di Terengganu dan Pahang.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi A Rahman berkata, sumbangan terbabit disampaikan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah masing-masing.

"Sumbangan ini adalah bagi meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Che Ahmad Tarmizi A Rahman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Pasir Puteh, semalam. FOTO IHSAN PETRONAS
Che Ahmad Tarmizi A Rahman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Pasir Puteh, semalam. FOTO IHSAN PETRONAS

"Selain itu ia diharapkan dapat membantu membangkitkan kegembiraan golongan sasar dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Ahmad Tarmizi berkata, agihan bermula di Terengganu pada 6 Mei lalu diikuti Pahang pada 8 Mei, manakala Kelantan semalam.

Beliau berkata, sumbangan itu juga adalah sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih Petronas untuk musim perayaan tahun 2020.

"Melalui program ini, 5,000 keluarga golongan kurang berkemampuan di seluruh negara menerima sumbangan bernilai RM1 juta sempena Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai yang bakal menjelang.

"Sumbangan itu disampaikan secara berperingkat bermula dari 4 Mei hingga 5 Jun dan dikendalikan oleh lebih 100 pengedar stesen PDB bersama wakil JKM serta sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Petronas dan Yayasan Petronas," katanya.

Sumbangan makanan keperluan oleh PETRONAS kepada 400 keluarga di negeri ini diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat daerah di Kelantan. FOTO IHSAN PETRONAS
Sumbangan makanan keperluan oleh PETRONAS kepada 400 keluarga di negeri ini diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat daerah di Kelantan. FOTO IHSAN PETRONAS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:25 PM