KENDERAAN minyak bergerak (ROVR) yang membawa 15,000 liter diesel dan 5,000 petrol berhenti di BBP Rantau Panjang untuk membuat pengisian percuma kepada kenderaan agensi penyelamat. FOTO ihsan PETRONAS
KENDERAAN minyak bergerak (ROVR) yang membawa 15,000 liter diesel dan 5,000 petrol berhenti di BBP Rantau Panjang untuk membuat pengisian percuma kepada kenderaan agensi penyelamat. FOTO ihsan PETRONAS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Petronas menerusi Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyalurkan sumbangan 30,000 liter diesel dan 10,000 liter petrol untuk kegunaan tugas menyelamat dan aktiviti pembersihan pasca banjir di Kelantan dan Terengganu.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan secara percuma berkenaan diagihkan menerusi perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR).

Menurutnya, agihan di lokasi pertama dibuat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, hari ini dan diikuti di BBP Pengkalan Kubor.

Katanya, ia akan diteruskan di beberapa daerah terpilih di Terengganu, esok.

"Sumbangan ini diharap mampu melancarkan usaha yang dijalankan oleh agensi berkaitan kerana ia adalah sebahagian daripada komitmen Petronas membantu mangsa banjir dengan peruntukan bernilai RM25 juta yang diumumkan pada Disember tahun lalu.

"Nilai itu merangkumi sumbangan terdahulu kepada agensi penyelamat di 14 negeri seluruh negara berupa 36 bot, 8,800 khemah, 5,500 jaket keselamatan dan 55,000 baju hujan.

"Malah, pada awal tahun ini Yayasan Petronas turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan, Pahang dan Tumpat melakukan persiapan lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM)," katanya.

Dalam perkembangan lain, M Ahmad Shazly berkata, Yayasan Petronas sudah menyampaikan sumbangan kepada 2,700 keluarga mangsa banjir di tiga negeri di Pantai Timur menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.

Menurutnya, sumbangan kelengkapan asas dan makanan disampaikan kepada mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Petronas sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir dan kami berharap sumbangan ini mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang berlindung di PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 3:33 PM